Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda juga bertitah tidak mempunyai kaitan dengan apa juga bentuk persaingan politik dan  mencampuri urusan politik sama ada di peringkat negeri atau negara. 

"Kedudukan baginda sebagai seorang raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik. 

"Sultan Sharafuddin sentiasa percaya dan menghormati kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak untuk mewakili mereka selaras sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Sehubungan itu, Mohamad Munir memberitahu, baginda mengingatkan kepada sekelian rakyat terutama di negeri Selangor supaya jangan cuba menimbulkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan dan kekacauan ketika musim pilihan raya ini dijalankan. 

Jelasnya, Sultan Sharafuddin berharap agar Pilihan Raya Umum ke-14 ini dapat dijalankan dengan lancar dalam keadaan yang aman tanpa sebarang kekecohan dan huru-hara di kalangan rakyat. -K! ONLINE