Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin telah menitahkan mana-mana pihak tidak melibatkan nama baginda untuk sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh parti poliltik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Sultan Sharafuddin kesal dan dukacita dengan kenyataan yang tersebar di media sosial dan whatsapp “Sultan Johor pemangku Sultan Pahang Sultan Selangor turun Himpunan ICERD 8-12-2018 bersama anak Melayu Bumiputera”.

"Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan masyarakat dan Sultan Sharafuddin sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor tidak seharusnya dilibatkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Justeru itu, Mohamad Munir menegaskan bahawa Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu seumpama ini.  - K! ONLINE