Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan untuk merasmikan pembukaan hospital tersebut. Turut berangkat hadir pada majlis perasmian itu ialah Tengku Permaisuri Norashikin.

Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amirudin Shari juga turut hadir.
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena, Datuk Dr Omar Abd Hamid berkata, hospital itu mendapat sambutan yang menggalakkan sejak ia dibuka kepada orang ramai pada bulan Mei 2019.

Konsep hospital butik yang memberi layanan peribadi kepada para pesakit itu, mempunyai empat buah dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) mesra kanak-kanak yang lengkap, Unit Kritikal untuk Bayi (NICU) dan Unit Separa Kritikal (HDU). Pembukaan hospital baharu ini akan membantu meningkatkan tahap pemberian rawatan untuk wanita dan kanak-kanak di Selangor.
 
"Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak ini bukan sahaja dilengkapkan dengan teknologi dan peralatan perubatan terkini, bahkan ia juga turut menyediakan  kepakaran dalam bidang Obstekrik dan Ginekologi dan kapakaran tambahan seperti Gineonkologi, Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja, Uroginekologi dan Ubat-ubatan Fetomaternal (Janin dalam kandungan ibu); pusat Sehenti bagi kesuburan; Paediatrik Umum dengan kepakaran tambahan dalam kardiologi, gastroenterology, ENT, Dermatologi. Pusat Paediatrik juga menawarkan kepakaran dalam Neonatologi; Pembedahan Paediatrik dengan kepakaran tambahan dalam prosedur laparoskopi, ortopedik dan pengurusan kesan terbakar di samping perkhidmatan Gigi Paediatrik secara menyeluruh," katanya pada majlis pembukaan hospital tersebut. Selain itu hospital itu juga akan menawarkan perkhidmatan Aestetik dan Plastik dalam masa terdekat.
 
Direka khusus untuk wanita dan kanak-kanak, hospital ini mewujudkan sebuah bilik khas untuk para ibu pesakit paediatrik yang dipanggil Anjung Bonda. Bilik itu khas untuk para ibu berehat dan pulih seperti biasa.

Tidak seperti bilik bersalin di hospital lain, bilik bersalin di Avisena direka bagi mewujudkan suasana tenang, nyaman dan seperti berada di rumah. Untuk mengelakkan rasa takut dalam kalangan kanak-kanak yang perlu menjalani prosedur radiologi, sebuah mesin pengimbas olok-olok yang dipanggil kitten scanner disediakan. Hospital itu juga mempunyai sebuah taman permainan di atas bumbung bangunan dan bilik mainan dengan alat permainan terapi di setiap wad paediatrik berkenaan.

Di tingkat 11 pula terdapat kawasan santai, Sutera Lounge, bilik menunggu yang boleh digunakan oleh pesakit dan pelawat. Avisena mempunyai sejumlah 16 bilik suite dan bilik eksekutif yang lengkap dengan khidmat seorang pembantu. - Bernama