Sultan Selangor bertitah, apa yang lebih mendukacitakan adalah hasutan bagi membenci Raja-raja Melayu ini dilakukan oleh segelintir orang-orang Melayu sendiri.

"Peranan Institusi Raja adalah bagi memelihara dan mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu dan Agama Islam serta kaum-kaum lain di negara ini.

"Penularan budaya ini dalam kalangan pihak-pihak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci Raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat kepada Raja-raja Melayu terhakis,"titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya serta perasmian masjid di Jalan Kebun Klang di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa Institusi Raja mempunyai peranan di dalam sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di negara ini serta sentiasa mendokong prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Beta berkenan supaya orang Melayu Islam khususnya di negeri Selangor ini supaya mengelakkan perbalahan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

"Agama Islam mengutamakan nilai-nilai positif di dalam diri umatnya dan juga menyeru umatnya bersikap baik sangka, bersatu padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan serta membantu antara saty sama lain,"titah baginda. - K! ONLINE