Sultan Selangor bertitah, baginda memandang serius kes-kes seperti itu kerana bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.

"Baru-baru ini rakyat telah dikejutkan dengan kes yang melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan.

"Oleh itu, Beta telah menitahkan pihak MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.

"Berikutan dengan itu MAIS dan JAIS telah menyembah maklumkan kepada Beta cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Selangor turut bertitah, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambah baik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah.

Baginda bertitah, antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan. - K! ONLINE