Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membuat pengumuman itu berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan ayahanda Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering.

Baginda berkata, cadangan untuk melantik Tengku Abdullah dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

"Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.

"Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat telah bersependapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang," katanya pada sidang akhbar khas di Istana Abu Bakar di sini hari ini. - Bernama