Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, ini disebabkan Sultan Johor dan keluarga diraja masih berkabung bagi menghormati kemangkatan bonda baginda, Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah pada 1 Jun lepas.

"Sultan Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Bangsa Johor.

"Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat terharu dan dukacita tidak dapat mengadakan majlis rumah terbuka bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disebabkan Tuanku dan keluarga diraja masih berkabung bagi menghormati kembalinya ke rahmatullah paduka bonda Tuanku yang dikasihi Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom, pada 1 Jun yang lalu," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, adalah menjadi tradisi bagi Sultan Johor dan keluarga diraja untuk beramah mesra dan bercampur gaul dengan rakyat dalam majlis perjumpaan rumah terbuka Hari Raya.

"Bagaimanapun, atas sebab yang tidak dapat dielakkan, perjumpaan itu tidak dapat diadakan pada tahun ini dan insya-Allah majlis seperti itu akan diadakan pada tahun-tahun hadapan," katanya. - Bernama