Ketua Pusat Pemeliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semula Jadi (CoR-SUNR), Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi UTHM, Prof. Datin Dr. Maryati Mohamed berkata, spesies baharu daripada jenis kumpulan Echinopla itu dikutip daripada tumbuhan renik di tepi Sungai Bantang, Hutan Lipur Sungai Bantang dekat Labis pada bulan Mei tahun lepas.

"Terdapat 15 spesies daripada jenis kumpulan Echinopla di Malaysia dan spesies baharu ini merupakan spesies ke-16 dan kedua dari Johor yang mana spesis pertama iaitu Echinopla Wardi telah dijumpai di Kota Tinggi.

"Spesies ini berukuran 5.48 milimeter panjang dan berwarna hitam. Kebanyakan spesies Echinopla yang lain badannya mempunyai bulu, tetapi spesies Echinopla yang baharu ini tidak mempunyai bulu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bagi menghargai kejayaan pertama CoR-SUNR dan UTHM atas penemuan spesies baharu itu, Canselor UTHM iaitu Sultan Ibrahim telah dipohon limpah perkenan bagi menamakan spesies Echinopla berkenaan. - Bernama