Anugerah Ijazah Kehormat Doktor itu berkenan disampaikan Tuanku Canselor UiTM, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Turut berkenan berangkat ke istiadat penganugerahan sempena konvokesyen UiTM ke-90 itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dan Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah.

Al-Sultan Abdullah dalam titahnya, pemerintahan yang berpaksikan kepada falsafah 'Melayu Islam Beraja' yang dijunjung Sultan Hassanal Bolkiah dalam setiap aspek pentadbiran negara dan sosial budaya telah berjaya membentuk identiti negara, bangsa dan tamadun Brunei Darussalam yang berasaskan ajaran Islam. 

"Falsafah itu bukan hanya sebuah slogan mahu pun sekadar konsep namun pegangan bahawa negara Brunei Darussalam adalah negara Melayu yang berpandukan aqidah Islam dengan ulil-amri sebagai pemerintah negara. 

"Sehubungan itu, amat bertepatan UiTM dengan nilai warisan sejarah sarat ikatan pertalian dengan bangsa Melayu, agama Islam serta institusi Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam kepada seorang tokoh serta lagenda kepimpinan dunia Melayu Islam yang tiada bandingannya, "titahnya. 

Sultan Hassanal Bolkiah dalam titahnya, penganugerahan ini merupakan satu penghormatan besar kepada baginda dan seluruh penduduk Brunei sebagai pemangkin hubungan dua hala. 

Titah baginda, hubungan Malaysia dan Brunei sangat istimewa dalam kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan. 

"Beta difahamkan UiTM telah bekerjasama dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam penganjuran persidangan antarabangsa halal pada April akan datang. 

"Justeru, beta ingin melihat hubungan baik melalui kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar antara institusi pengajian tinggi kita akan dijalin lebih kukuh untuk memberikan impak yang besar kepada kedua-dua negara," titahnya. - K! ONLINE