Demikian luahan ibu kepada seorang murid tahun satu, Ahmad Damian Iqbaal Abdullah, 7, yang maut di depan rumahnya sendiri akibat digilis van sekolah yang dinaikinya dalam kejadian di Jalan Rotan Semut, Seksyen 18 pada Selasa lalu. 

Haziyahlina Abu Bakar, 26, memberitahu, dia langsung tidak menyangka perkara itu terjadi yang berkemungkinan disebabkan kelalaian pemandu van sekolah tersebut berusia 66 tahun. 

Katanya, dia berharap pemandu van tersebut akan didakwa di mahkamah atas kesilapan yang dilakukannya sehingga mengorbankan anak sulungnya daripada dua beradik itu. 

"Berat sangat hati saya untuk memaafkan dia (pemandu van) sekalipun ucapan maaf akan diberikan oleh pemandu van tersebut. 

"Sejak kejadian tersebut, pemandu van dan ahli keluarga mereka tiada menemui saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan Iqbaal menemui ajal di depan rumahnya sendiri akibat digilis van sekolah yang dinaikinya selepas turun kenderaan tersebut di Jalan Rotan Semut, Seksyen 18 dalam kejadian pada pukul 6.45 petang Selasa lalu. 

Menurut Haziyahlina, arwah Iqbaal menunjukkan kelakuan pelik terutama kerap berbicara hal kematian termasuk menyatakan arwah sanggup mati ketika berbicara dengan sepupunya, Hafiz Safwan Mohd. Razlan, 7, yang duduk bersamanya di bahagian penumpang hadapan van berkenaan ketika hari kejadian. 

"Pada hari kejadian juga, arwah sempat berpesan kepada rakan sekelasnya bahawa dia amat menyayangi mereka.

"Arwah juga sempat belanja aiskrim pada Sabtu lalu untuk saya, neneknya dan adiknya, Nur Ain Jannah, 2 menggunakan wang sakunya," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada ibubapa mangsa berhubung kejadian tersebut semalam. 

"Setakat ini, siasatan lanjut kes tersebut masih dilakukan termasuk sama ada akan menyambung reman pemandu van berkenaan," katanya. - K! ONLINE