Walaupun berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, skuad negara ternyata mampu menguasai emosi untuk mempamerkan aksi bertenaga sebaik  perlawanan bermula.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun regu negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) melakukan sedikit kesilapan pada penghujung set yang pantas dimanfaatkan regu Indonesia untuk menang 21-18.

Menyedari mereka perlu menang untuk memastikan harapan menggenggam emas terus menyala, trio negara yang pada satu ketika ketinggalan 11-17 memaksa pasukan Indonesia berhempas-pulas untuk bertahan sebelum akhirnya menundukkan mereka dengan catatan 22-20, sekali gus mengheret  perlawanan ke set penentuan.      

Pada set penentuan, regu negara dilihat lebih bersedia dan berjaya menahan asakan demi asakan regu lawan untuk menundukkan Indonesia 21-11.
Malaysia pernah memenangi pingat emas acara terbabit sebanyak dua kali iaitu pada Sukan Asia 1990 di Beijing, China dan edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

Kejayaan trio sepak takraw hari ini bermakna kontinjen negara menambah satu lagi pingat emas dalam koleksi menjadikan empat emas setakat ini  dan perlu memburu tiga lagi untuk mencukupkan tujuh pingat emas yang menjadi sasaran kontinjen negara pada Sukan Asia ke-18 ini. - Bernama