Dalam satu kenyataan, pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, badan tersebut mengingatkan pihak berkuasa bahawa kerajaan telah berjanji untuk memansuhkan kebanyakan undang-undang bersifat menindas di bawah kerajaan terdahulu termasuk Akta Hasutan.

"Justeru, pihak berkuasa perlu mengelak daripada menggunakan undang-undang tersebut sebagai cara untuk menyekat perdebatan awam dan hak untuk mendapatkan maklumat. Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui dan mempersoalkan bagaimana wang kerajaan di belanjakan demi mencapai ketelusan dan  kebertanggungjawaban," kata beliau.

Seharusnya, tiada isu harus dipertikaikan dala konteks pendemokrasian, kata Razali.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bahawa Kadir, kini disiasat di bawah Akta Hasutan dan kerana memfitnah, berhubung catatan dalam blognya yang mendakwa kira-kira RM256.9 juta dibelanjakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong sementara Hishamuddin  Rais dipanggil ke balai polis Sri Petaling di sini untuk merakamkan  kenyataan berhubung artikel yang dikatakan berbaur hasutan dalam blognya.

Sementara itu, bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar berkata beliau bimbang terhadap kenyataan yang dibuat oleh Mohamad Fuzi bahawa Kadir, yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  akan disiasat di bawah Akta Hasutan.

"Ada banyak undang-undang yang boleh terpakai untuk mendakwa Kadir jika perlu, tetapi untuk menyiasat atau mendakwanya di bawah Akta Hasutan adalah sama sekali bertentangan dengan semangat Malaysia hari ini. Kadir  mungkin  telah tersilap atau membuat kenyataan yang dianggap merendahkan oleh sesetengah pihak dalam blognya. Tetapi beliau harus diberi peluang untuk membuktikan fakta-faktanya dan mesti bertanggungjawab atas kenyataannya.

"Hakikatnya ialah kita tinggal di Malaysia yang berbeza hari ini, tiada warga negara harus diugut dan terancam di bawah undang-undang bertujuan untuk melenyapkan suara mereka yang tampil bersuara," kata Johan.

Beliau berkata: ":Polis mesti mengambil kira agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji atau memansuhkan undang-undang tertentu yang bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara dan keterbukaan baharu."

Oleh itu, keputusan untuk menyiasat Kadir, yang merupakan anggota parti gabungan yang menjanjikan  untuk memansuhkan undang-undang sedemikian, menimbulkan ironis.

Pengasas bersama Lawyers for Liberty Latheefa Koya meminta Ketua Polis Negara untuk menghentikan siasatan yang tidak perlu terhadap Kadir di bawah undang-undang yang menunggu untuk dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Pendakwaan seperti era Barisan Nasional (BN) harus dihentikan, di bawah kerajaan baharu. Ketua Polis Negara hatrus menyedari bahawa Malaysia tidak lagi ditadbir oleh rejim BNN yang menindasn yang senelum ini telah menindas rakyat kerana hanya menggunakan hak mereka bagi kebebasan bersuara.

"Siapa pun yang tersinggung dengan artikel oleh Kadir harus respon dengan cara yang bertamadun dan tidak membuat laporan polis. Ia memungkinkan bagi pihak-pihak  berkenaan memfailkan saman fitnah tetapi yang pasti tidak ada apa-apa dakwaan berunsur jenayah dalam apa yang ditulis," kata beliau dan menambah ketua Polis Negara mesti bertindak selaras dengan agenda reformasi kerajaan baharu dan tidak kembali kepada cara tadbir BN. - Bernama