Pemangku Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, tindakan Suee Lim adalah sesuatu yang tidak wajar dan merupakan kali pertama berlaku meskipun sebelum ini dua speaker DUN terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti DAP iaitu Hannah Yeoh dan Datuk Teng Chang Kim.

"Baju Melayu atau Baju Kebangsaan adalah pakaian rasmi orang Melayu turun-temurun dan ia mempunyai status sama dengan 'longue suit' iaitu pakaian nombor satu penjawat awam untuk majlis-majlis rasmi.

"Kemuliaan dewan tidak hanya terletak kepada pakaian yang dipakai oleh ADUN, tetapi juga cara bercakap, berhujah dengan bahasa dan cara yang tertib serta mematuhi peraturan dewan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zainal yang juga bekas Speaker DUN Selangor dari tahun 1990 hingga 1995 menegaskan Suee Lim tidak boleh menjadikan DUN sebagai tempat untuk mencari publisiti dan membuat peraturan yang bercanggah dengan budaya serta protokol yang telah sekian lama diamalkan tanpa sebarang masalah.

"Janganlah peraturan yang dibuat itu boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak secara langsung atau tidak yang akhirnya menunjukkan kejahilan seorang Speaker Dewan," ujarnya.

Sehubungan itu, Zainal menjelaskan akan membawa perkara tersebut kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekiranya ADUN Sekichan itu tidak menarik balik kenyataan tersebut sehingga persidangan DUN Selangor yang dijangka tamat Khamis ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Suee Lim telah menegur ADUN Taman Templer, Sany Hamzan memakai baju Melayu ketika sesi persidangan DUN pada Selasa lalu.

Dalam teguran itu, Suee Lim telah menuduh Sany yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) telah melanggar peraturan DUN, sekaligus mencemarkan kemuliaan dewan. - K! ONLINE