Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata, menantunya, Mohd. Hafiz Mohd. Kassim, 30, telah menaiki penerbangan ke Lombok kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Saya telah dimaklumkan olehnya bahawa dia telah menaiki penerbangan secara berseorangan pagi tadi bagi urusan membawa pulang jenazah anak saya.

“Kami masih menanti perkembangan terkini daripada Hafiz serta pihak berkaitan dan buat masa ini kami memantau laporan media tempatan dan Indonesia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia maut akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok dengan kekuatan 6.4 magnitud yang menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar dan banyak laluan terputus.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada pukul 5.47 pagi dan berpusat 28 kilometer (km) Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km. - K! ONLINE