Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lelaki berusia 32 tahun dan isteri berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Nilai pada tengah hari, 11 Ogos lalu.

Menurut beliau, pasangan berasal dari Seremban itu mula aktif melakukan jenayah tersebut sejak November 2017.

"Daripada tangkapan ini, sebanyak 15 kes pecah kereta di kawasan masjid dan surau berjaya diselesaikan dengan 13 kes di Nilai dan bakinya masing-masing di Seremban dan Rembau.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira milik suspek dan pelbagai peralatan pecah rumah serta beberapa beg tangan, komputer riba dan telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan.

Tambah Noor Azam, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun keseksaan kerana mencuri. - K! ONLINE