Beliau berkata, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas, 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.

"Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi  di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres, dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

"Terdapat peluang lebih tinggi bahawa seseorang itu akan hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga  2015.

Oleh itu, rakyat perlu menangani penyakit ini dan membangunkan strategi pencegahan dan  program efektif dalam mengendalikan kesejahteraan mental, dan beberapa langkah untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan mengelakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya  45 minit sebelum masuk tidur, katanya.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal. - Bernama