Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut daripada orang awam sekitar pukul 4.34 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba KLCC, Balai Bomba Seputeh dan Balai Bomba Keramat dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati premis yang berkeluasan kira-kira 5,000 kaki persegi itu sedang dijilat api.

“Premis yang terbakar merupakan sebuah stor milik DBKL dan menjadi pusat simpanan barang-barang yang hendak dilupuskan,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Difahamkan, turut musnah dalam kebakaran tersebut ialah tiga buah bas, sebuah lori dan sebuah jentolak, namun tiada sebarang kecederaan atau kematian yang dilaporkan.

Menurut Khirudin, api yang marak berjaya dikawal dan dipadamkan namun kerja-kerja siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran masih diteruskan.

“Saya ingin berpesan kepada pemilik-pemilik premis agar sentiasa mengawasi kawasan milik mereka untuk mengelakkan ia diceroboh oleh individu yang tidak bertanggungjawab serta memastikan aspek keselamatan dilihat dengan lebih khusus bagi memastikan tahap keselamatan premis sentiasa dalam keadaan baik dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” tegasnya. - K! ONLINE