Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kementeriannya akan memberikan peruntukkan dalam pembangunan tersebut bersesuaian dengan kehendak golongan muda di negeri ini.

"Sekiranya dikatakan mengapa baharu cakap sekarang, kerajaan yang ada sekarang (pembangkang) tidak pernah meminta.

"Bumbung stadium terpelanting, saya pernah menawarkan (peruntukkan) namun mereka tidak ambil.

"Jadi, saya menyokong perancangan Datuk Azhari Shaari (Koordinator Kerajaan Persekutuan Bahagian Shah Alam) bagi membangunkan Stadium Shah Alam sebagai hab pelancongan sukan," katanya semasa program bual bicara semasa program Transformasi Anak Muda Millenia di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Program tersebut yang turut disertai Azhari dihadiri 1,000 peserta. Moderator bagi program itu ialah Timbalan Dekan(Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Azhari Muhammad Zain.

Terdahulu Azhari mengemukakan cadangan itu berikutan Selangor terkenal dengan pasukan bola sepaknya selain membuka peluang golongan belia terlibat secara langsung dalam aktiviti pelancongan sukan di negeri itu.

Dalam pada itu, Khairy turut memberi jaminan untuk mewujudkan outlet usahawan muda di bandar raya ini sebagai pusat sehenti bagi golongan muda melakukan pendaftaran syarikat, pinjaman dan geran bagi melahirkan ramai usahawan.

"Selain itu, kita (BN) akan mewujudkan manifesto khusus kepada golongan muda (seluruh negara) yang merupakan sejarah dalam BN.

"Ini merangkumi dalam bidang pekerjaan, perumahan mampu milik, perniagaan, pendidikan dan latihan serta kemudahan orang muda," katanya.

Sementara itu, Khairy menegaskan bahawa Transformasi Nasional 2050 (TN50) bukan satu usaha dalam melupuskan legasi terdahulu iaitu wawasan 2020 sebaliknya adalah penerusan agenda negara.

"Kita harus lihat ke depan, adakah kita hendak sampai 2020 sahaja. Justeru, TN50 bukan penghapus legasi terdahulu," katanya. - K!ONLINE