Beliau berkata, rang undang-undang SST dijangka diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat sekarang dan akan dilaksanakan pada September.

"SST akan diperkenalkan semula pada 1 September dan menyumbang sasaran hasil sebanyak RM4 bilion," katanya pada pelancaran Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Beliau memberitahu, SST serta peningkatan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan akan menyumbang RM14.4 bilion tambahan hasil kepada kerajaan bagi mengimbangi kehilangan RM21 bilion hasil daripada kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai Jun tahun ini.

"Untuk memenuhi kekurangan GST, kementerian itu mengenal pasti langkah penjimatan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion," katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah itu termasuk mengurangkan dan memansuhkan program bertindih dan program bukan segera dan membatalkan atau menangguhkan projek-projek mega dengan perbelanjaan besar.

Beliau berkata, antara hasilnya ialah RM15 bilion atau 47 peratus pengurangan kos akhir projek transit rail 3 (LRT3) dengan membatalkan atau menangguhkan kedua-dua lebihan kapasiti dan ciri-ciri fizikal.

Guan Eng berkata, cukai selain membiayai pembangunan dan pentadbiran negara juga berfungsi untuk membetulkan ketidaksamaan ekonomi yang wujud dalam masyarakat dengan mengagihkan semula pendapatan.

Katanya, walaupun tujuan percukaian  masih sama dalam tempoh beberapa tahun, sumber dan kaedah pengumpulan dan cabaran yang berkaitan dengan pengumpulannya telah berubah. - Bernama