Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, insentif itu diberikan sempena kempen SSM yang bertemakan, "Comply With Companies Act, Show Interest, Love Your Companies", bertujuan membantu syarikat menyelesaikan kompaun mereka.

"Pengurangan itu berdasarkan kuantum yang berbeza bagi pembayaran pada bulan yang dibuat, iaitu 80 peratus pada September, 70 peratus pada Oktober, 60 peratus pada November dan 50 peratus pada Disember," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2018 bertemakan, "Doing Business In The Age Of Disruption" di sini hari ini.

Beliau berkata kempen itu akan dilaksanakan di seluruh negara dan menggesa semua pihak yang berkaitan untuk mengambil peluang daripada tawaran diskaun itu.

SSM akan turut memperkenalkan dua inisiatif, iaitu, Mekanisme Penyelamat Korporat dan Sistem Laporan Perniagaan Malaysia untuk mengukuhkan lagi tadbir urus korporat di Malaysia.

Mengenai pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Saifuddin berkata kementerian akan memberi sokongan penuh untuk memastikan semua rang undang-undang yang berkaitan diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Kita hanya boleh melaksanakan Akta berkaitan SST yang baharu apabila undang-undang yang berkaitan itu diluluskan oleh kedua-dua badan perundangan tersebut.

"Selain itu, kami akan meningkatkan usaha untuk menjaga kepentingan pengguna dan mengelak kenaikan harga barang secara berlebihan disebabkan pencatutan," katanya.

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada setiausaha syarikat, pengamal undang-undang, usahawan dan pihak berkepentingan daripada sektor korporat Malaysia menghadiri persidangan selama dua hari itu yang menumpukan kepada perubahan landskap perniagaan dan impak daripada revolusi digital ke atas ekonomi dan globalisasi. - Bernama