Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, maklumat berhubung dakwaan tersebut begitupun tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana dibimbangi boleh mengganggu proses siasatan.

"Mesti ada laporan banyak kes berbentuk perolehan dan sebagainya tetapi kami (SPRM) tidak boleh beritahu sehingga kita dapat lakukan tindakan.

"Kalau beritahu, orang yang kita sasar pun lari," katanya selepas menyertai  program Gohek dan Khabak (Kayuh dan Daki) Merdeka 2019 anjuran SPRM Terengganu di Bukit Besar di sini hari ini.

Pada program yang turut disertai Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan itu, Latheefa mendaki Bukit Besar bersama 100 peserta lain sebelum memasang papan tanda agensi terbabit di puncak bukit yang setinggi 156 meter dari paras laut berkenaan.

Beliau mengulas laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mendedahkan
sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit sedang disiasat kerana kontraktor yang memenangi tender tersebut disyaki berkomplot dalam proses bidaan.

Kontraktor dan pembekal terlibat didakwa telah melakukan pakatan komplot agar nilai sesuatu kontrak yang dibida berkenaan menjadi tinggi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kemudiannya telah meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan komplot dalam bidaan projek kerajaan agar turut melaporkannya kepada SPRM selain MyCC. - K! ONLINE