Suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 9.50 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah melakukan pecah amanah melibatkan akaun Kumpulan Wang Asrama (KWA) sekolah tersebut dengan membuat pembayaran ke beberapa akaun yang tidak berkaitan dengan sekolah antara tahun 2015 dan 2017.

Katanya, suspek disyaki juga telah membuat pembayaran lebih RM130,000 kepada sebuah syarikat katering milik keluarganya.

"Suspek juga disyaki melakukan pembayaran ke atas dua syarikat kira-kiraRM86,000 atas pelbagai urusan yang tidak melibatkan sebarang aktiviti sekolah terbabit.

"Siasatan juga mendapati tidak ada perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat tersebut kepada pihak sekolah dalam tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, suspek yang mempunyai kawalan ke atas akaun sekolah itu juga telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek tersebut.

Katanya, buat masa ini pihaknya masih dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berhubung pembayaran yang dibuat itu.

"Bagaimanapun suspek telah dibebaskan selepas dirakam percakapan dengan jaminan SPRM RM10,000 tanpa deposit bersama dua penjamin," ujarnya lagi. - K! ONLINE