Menurut sumber, jurutera berusia 58 tahun dan isterinya, 49, ditahan di rumah mereka di Shah Alam pada pukul 2 petang tadi.

Jelasnya, suspek pertama yang merupakan pengurus kawalan kualiti atau analisis kualiti (QA&QC) projek tersebut ketika itu disyaki telah meminta dan menerima rasuah sebagai upah melantik syarikat sub-kontraktor kepada kontraktor utama bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

"Pembayaran rasuah tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat  isterinya sebagai upah bagi melantik syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

"Setakat ini pihak kami telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes ini dan 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan," ujarnya.

Kedua-dua suspek dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.