SPRM
SPRM

Menurut sumber, pihak SPRM telah menerima maklumat bahawa terdapat pegawai di MISC Bhd. (MISC) disyaki telah bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan kapal-kapal milik MISC yang mana kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

Sumber berkata, sehubungan itu, SPRM telah melakukan serbuan terhadap syarikat-syarikat berkaitan di ibu negara dan Johor pada 28 Februari lalu.

"SPRM juga telah merakam keterangan seramai sembilan orang saksi termasuk empat pegawai kanan MISC Bhd. serta merampas beberapa dokumen berkaitan.

"Antara dakwaan yang disiasat SPRM ialah tuntutan pembayaran kos pembaikan tangki kapal bernilai AS$15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanyalah AS$7.9 juta (RM30.8 juta)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, jelas sumber, terdapat juga dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal yang mengalami kerugian sebanyak AS$12 juta (RM46.8 juta) kerana proses pelantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan yang ditetapkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan melibat GLC tersebut, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana khuatir akan menganggu siasatan yang sedang dijalankan. - K! ONLINE