Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata, suruhanjaya itu juga tidak akan berpihak kepada sesiapa dalam menyiasat sebarang laporan.

"Siasatan bagi kes ini akan dikendalikan di bawah timbalan saya serta pasukan siasatan beliau.

"Saya tidak akan terlibat dalam apa-apa cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media berhubung laporan terhadap SPRM yang dibuat Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam kelmarin membabitkan seorang menteri kanan Kabinet.

Laporan itu antara lain bagi meminta siasatan dijalankan terhadap dakwaan pemindahan dana berjumlah AS$741,440 (RM3.08 juta) ke akaun bank milik menteri terbabit di luar negara sekitar Disember 2017.

Lokman mendakwa beliau mengakui menerima dokumen berkenaan yang dihantar seorang individu mengenai satu rekod transaksi dana oleh UEM Group Bhd. ke atas akaun milik menteri terbabit di Deutsche Bank AG - ZR BR pada 19 Disember 2017. - K! ONLINE