Beliau berkata, SPRM kini menumpukan pada baki 40 peratus bukti, yang berada di luar negara termasuk Amerika Syarikat dan Singapura.

"SPRM mula menjalankan siasatan tiga bulan lepas," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan terkini siasatan 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada SPRM akan memohon untuk menahan reman bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Azam berkata, SPRM hanya akan membuat keputusan tentang langkah yang bakal diambilnya selepas Musa selesai menjalani rawatan perubatannya.

Minggu lepas, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri  Sungai Sibuga tiba di Malaysia selepas beliau dilaporkan berlepas ke London pada 17 Mei susulan krisis kepimpinan di Sabah.

Musa dilaporkan dikehendaki polis kerana didakwa mengugut Yang Dipertua Negeri Sabah semasa majlis angkat sumpah pada 10 Mei lepas dan juga sedang disiasat SPRM atas tuduhan merasuah beberapa wakil rakyat. - Bernama