Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki berkata, keempat-empat saksi itu terdiri daripada ahli politik dan individu dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, SPRM juga sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada bank.

“Buat masa ini, kami sudah mulakan siasatan dan sedang mendapatkan dokumen daripada bank untuk diteliti selain sudah berhubung dengan kira-kira empat orang saksi untuk membantu siasatan.

“Kebanyakan akan dipanggil esok di pelbagai tempat melibatkan negeri dan beberapa lokasi lain,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM akan memulakan siasatan ke atas dakwaan beberapa pemimpin Pas menerima wang sebanyak RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Sementara itu, Azam berkata, SPRM sedang berusaha mendapatkan dokumen berhubung perbicaraan kes saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report di London.

Sebelum ini, laporan portal Sarawak Report pada Ogos 2017 mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pemimpin atasan Pas bagi menarik sokongan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi kemudiannya memfailkan saman fitnah terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Bagaimanapun, pada 3 Februari lalu, Ahli Parlimen Marang itu memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian berhubung kes samannya di luar mahkamah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan beliau tidak pernah membayar wang sebanyak RM90 juta kepada Pas dan Abdul Hadi. - Bernama