Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding pada PRK Parlimen Cameron Highlands tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Jelasnya, mereka yang terlibat juga tidak boleh menjalankan aktiviti penjamuan, pemberian hadiah, barangan, penggunaan kemudahan serta aset kerajaan, program kerajaan dan aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

Menurut Azhar Azizan, perkara itu diputuskan sewaktu perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi  Harun, Pengurusan Tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull hari ini dalam usaha menangani isu-isu yang berkaitan salah laku rasuah dan pelanggaran undang-undang berkaitan kempen pilihan raya.

“SPR menasihatkan kepada semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen PRK itu agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya selama 14 hari yang bermula dari hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam pada 25 Januari ini.

“Kesemua parti dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, sekiranya aktiviti kempen membeli undi berlaku maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika sabit kesalahan.

Tambah Azhar Azizan, SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi termasuk melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. - K! ONLINE