Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull berkata, siasatan tersebut melibatkan proses pengumpulan bukti sebanyak 50 peratus di dalam negara dan 50 peratus dari luar negara.

“Siasatan melibatkan bukti dari dalam negara dah hampir selesai, selepas ini kita akan lihat pula dari luar negara bagi melengkapkan keseluruhan siasatan tersebut.

“Kita sentiasa agresif untuk menjalankan siasatan bagi membasmi rasuah dan menahan individu yang didapati bersalah dalam melakukan rasuah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Program Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Millions Messages di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad dan juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Ketika ditanya berkenaan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman sivil terhadap tiga penyiasat tertinggi 1MDB termasuk dirinya, beliau enggan mengulas lanjut dan hanya berkata, ‘samanlah, saya terima, biar mahkamah menentukannya’. - K! ONLINE