Menurut sumber, Dzulkifli, 50, diminta hadir bagi membantu siasatan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang merupakan antara individu pertama mengetuai siasatan skandal 1MDB dan SRC International menjadi saksi utama selepas pihak SPRM meneliti dokumen asal laporan akhir Audit 1MDB untuk dibandingkan dengan draf akhir yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Terdahulu, media melaporkan Dzulkifli merupakan antara sekurang-kurangnya empat individu yang bakal dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi dakwaan sama.

Pada 14 Mei lalu, Dzulkifli melepaskan jawatannya menerusi surat perletakan jawatan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa. 

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tan Sri Kassim Mohamed. - K! ONLINE