Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi berkenaan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah diterima daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Sehubungan itu, katanya SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut. 

"Tarikh mesyuarat khas berkenaan akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Danyal Balagopal dalam satu sidang akhbar khas di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya hari ini mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Presiden PKR itu kembali ke Parlimen. - Bernama