Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, kekosongan itu adalah berikutan kematian penyandangnya Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin petang semalam.

"SPR akan mengadakan mesyuarat mengenai kekosongan tersebut minggu depan bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu," katanya ketika ditemui selepas memantau proses penyemakan isi dan penyerahan peti undi kepada petugas PRK DUN Sungai Kandis untuk pelaksanaan hari pengundian esok.

Ditanya mengenai kemungkinan PRK DUN Seri Setia dijalankan serentak dengan PRK DUN Balakong, beliau berkata, ia bergantung kepada hasil mesyuarat berikutan banyak aspek serta keperluan perlu diambil kira antaranya kemudahan lokasi, petugas dan logistik.

Semalam, Shaharuddin, 55, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan negeri meninggal dunia pada pukul 6.28 petang di Hospital Putrajaya. - Bernama