Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi tempoh itu akan dipamerkan selama 14 hari mulai 31 Julai hingga 13 Ogos ini di 957 tempat-tempat pameran di seluruh negara selaras dengan peruntukan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Jelasnya, pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April hingga 30 Jun lalu dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT suku tahun kedua 2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

“Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar Azizan, tuntutan atau bantahan perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT suku tahun kedua 2019 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT. - K! ONLINE