Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, sehingga kini proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya lihat secara purata 60 hingga 70 orang pengundi bagi satu-satu saluran mengundi yang saya lawati dan dijangka lebih ramai pengundi akan keluar mengundi tengah hari nanti," katanya kepada pemberita ketika meninjau pusat pengundian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini hari ini.

DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 orang dan 13 pengundi tidak hadir.

SPR sebelum ini menyasarkan 80 peratus keluar mengundi pada PRK yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. - Bernama