Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, terlalu banyak isu yang ditularkan di media sosial mengenai perjalanan pilihan raya sedangkan semua proses itu dipantau oleh ejen-ejen yang dilantik sendiri oleh calon dan parti politik yang bertanding.

"Sama seperti 5 Mei lepas pada hari pengundian awal, pelbagai perkara ditularkan. Jadi, saya minta supaya ejen-ejen memaklumkan kepada parti masing-masing mengenai penjalanan pilihan raya di tempat mereka bertugas dengan seadil-adilnya. Jangan buat cerita tidak tentu pasal.

"Jika parti politik merasakan ada masalah di tempat tertentu, mereka boleh menghubungi ejen mereka bagi mendapatkan kepastian," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pemerhati antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mohd. Hashim berkata, peranan ejen-ejen calon dan parti politik yang bertugas pada setiap pilihan raya adalah sangat penting memandangkan mereka adalah orang yang setia kepada parti politik masing-masing.
 
"SPR bukan parti politik dan hanya diberi peranan untuk menguruskan pilihan raya dengan seadil dan setelus mungkin. Kita sedaya upaya berusaha untuk membuat yang terbaik, itu keazaman kita," kata Mohd. Hashim.

Dalam kenyataan sebelum ini, beliau berkata, urusan penjalanan PRU-14 akan dipantau oleh lebih 200,000 ejen calon atau parti politik yang bertanding.

Mereka dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu ejen pilihan raya, ejen barung semakan, ejen tempat mengundi, ejen mengira undi, ejen pengeluaran undi pos, ejen pembukaan sampul undi pos dan ejen pengiraan kertas undi pos.

Dalam pada itu, Mohd. Hashim menasihatkan orang ramai khususnya pengundi supaya tidak mudah percaya dengan mesej-mesej mengenai PRU-14 yang ditularkan di media sosial atau melalui aplikasi WhatsApp yang kebanyakannya direka untuk mengelirukan mereka.

"Ia mungkin satu daripada strategi pilihan raya oleh pihak tertentu. Kadang-kadang ia boleh mempengaruhi (pengundi)," katanya. - Bernama