Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan pencemaran yang berlaku ke atas sungai itu kerana menyusahkan penduduk Selangor.

"Bagaimanapun, bekalan air di Selangor berada dalam keadaan terkawal. Terdapat 13 lori tangki membantu membekalkan air bersih di Selangor berikutan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor.

“Kami menjangkakan lori tangki itu akan memberi bekalan sehingga 24 Julai ini selepas loji air di Selangor pulih sepenuhnya, namun ia bergantung kepada situasi semasa," katanya
pada sidang media selepas menyertai serbuan kes curi air di Kampung Jimah, Bandar Baru Sri Sendayan dekat sini hari ini.

Turut hadir ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail.

Mohd. Fazil berkata, jika ujian air yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan esok lulus, maka air dari loji di Selangor boleh disalurkan semula kepada pengguna.

Jelasnya, sampel ujian air dilakukan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan kualiti air tersebut benar-benar bersih untuk digunakan oleh orang ramai.

Terdahulu, sebuah premis membancuh simen di Kampung Jimah dikenakan notis oleh SPAN hari ini selepas menerima aduan daripada Sains berhubung perbuatan mencuri air. - K! ONLINE