Pelaksanaan SOP berkenaan diwujudkan susulan pelakuan tidak senonoh kumpulan pelancong wanita warga asing yang menari di atas tembok kawasan MBR sehingga tular dalam laman sosial, Facebook pada bulan lalu.

Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abdul Jamal Sakaran berkata, selepas kejadian terbabit pihak MBR terpaksa menyekat seketika lawatan pelancong asing dalam tempoh sebulan sementara mengadakan perbincangan bersama agensi terlibat.

"Syarat baharu yang dikenakan ialah pihak masjid hanya membenarkan syarikat pelancongan, teksi dan perkhidmatan GRAB yang telah berdaftar dengan MOTAC dan MBR serta membayar yuran masuk sebanyak RM5 setiap pelancong layak melawat masjid ini.

"Sebaik sahaja memasuki kawasan masjid, pelancong wanita dan lelaki yang berpakaian kurang sopan wajib menyewa pakaian menutup aurat yang disediakan pihak masjid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan SOP kepada syarikat pelancongan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Sabah, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar. - K! ONLINE