Perhimpunan Solidariti Keamanan yang dijadual dari 7 pagi hingga 11 pagi, susulan serangan dua masjid di Christchurch, New Zealand itu adalah untuk rakyat Malaysia bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama dan ideologi politik.

Menggunakan simbol burung merpati putih berlatar belakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian, perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat membeli-belah Sogo pada pukul 7 pagi, sebelum peserta, dengan pakaian berwarna putih, berarak ke Dataran Merdeka.

Perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu dijangka disertai 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya menerima notis permohonan perhimpunan pada 8 Mac lepas dan polis mengeluarkan notis kebenaran bersyarat semalam.

"Polis telah beri kebenaran (perhimpunan) kerana mereka mematuhi syarat-syarat perhimpunan termasuk tempoh waktu perhimpunan itu," katanya.

Antara pengisian perhimpuan itu ialah ucapan wakil-wakil agama, pelancaran Simbolik Solidariti Kedamaian dan Deklarasi Kedamaian KL 2019.

Wakil keluarga Allahyarham Mohd Haziq, yang terbunuh dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch New Zealand, Jumaat lepas dan wakil Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia juga dijadual berucap pada Perhimpunan Solidariti Keamanan itu. - Bernama