Kata Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan, 47, Farid mewarisi ciri-ciri kepimpinan pemimpin tersohor itu.

"Beliau (Farid) mempunyai jiwa seorang pemimpin yang hebat dan beliau adalah seorang pemidato yang hebat.

"Walaupun berada dalam keadaan tertekan dan kemurungan, beliau masih lagi boleh berkata tentang kebenaran dan segala perkara tentang masalah sosial, masyarakat dan perjuangan seni," kata Soffi yang cukup dikenali menerusi filem Rock itu kepada media ketika ditemui di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini.

Soffi turut mengesahkan dia memang menghabiskan masa bersama pelakon itu sehari sebelum Farid ditahan akibat menampar seorang anggota polis dan menendang dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada Khamis.

"Ya, benar dan saya tahu dia mempunyai masalah kemurungan dan saya sudah bercadang untuk membawanya bertemu dengan pakar psikiatri dan kaunseling.

"Namun sebelum itu saya juga ada berbincang dengan Farid untuk membawanya bertemu dengan orang kuat agama untuk menyelesaikan masalah kemurungan yang dihadapinya. Tetapi saya rasa bersalah melepaskannya seorang diri pulang ke rumah ketika keadaannya masih tidak stabil," kata Soffi yang turut mengakui Farid ada menggunakan akaun Bigo Live miliknya untuk tujuan suka-suka sehari sebelum ditahan pada Khamis. - K! ONLINE