Pada edisi ke-24 yang berakhir hari ini, pasukan kebangsaan berjaya menduduki tempat ke-11 keseluruhan daripada 22 pasukan, manakala bagi kategori Pasukan Terbaik Asia, skuad negara berada di tempat kedua selepas mencatatkan masa keseluruhan 88 jam, 25 minit dan 18 saat.

Pasukan Vino-Astana Motors dari Kazakhstan, yang merupakan pasukan ketiga keseluruhan, muncul Pasukan Terbaik Asia dengan catatan masa keseluruhan 87:59:19s.

Pengurus pasukan, Amrun Misnuh berkata keputusan itu boleh diperbaiki pada tahun-tahun akan datang dengan latihan ditumpukan pada laluan sebenar LTdL dan berbukit.

"Sejak saya menjadi pengurus pasukan selama 16 kali, ini merupakan kedudukan terbaik kita. Biasanya akan menamatkan saingan di antara kedudukan ke-15 hingga 22. Kebangkitan kami bermula dari Peringkat Keempat (Shah Alam-Genting Highlands).

"Saya meminta pelumba supaya tidak berpecah sepanjang perlumbaan ini kerana jika berpecah, akan hilang kedudukan. Saya sangat berpuas hati kerana para pelumba ini menunjukkan prestasi baik walaupun hanya sempat menjalani latihan selama sebulan setengah.

"Saya berharap agar Sofian Nabil Omar Mohd Bakri diberi peluang mewakili negara ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina pada hujung tahun ini. Saya yakin sekiranya kita buat persiapan awal, pasukan Malaysia boleh meraih pingat," katanya ketika ditemui pemberita.

Untuk rekod, Pasukan Kebangsaan Malaysia sebelum ini pernah muncul Pasukan Terbaik Asia pada LTdL 1999. - Bernama