Lebih menarik, ia juga dapat menyaksikan dendam skuad B-23 negara akhirnya terlunas apabila sebelum ini tewas di tangan musuh yang sama pada peringkat suku akhir kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China dengan keputusan 1-2.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu, penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Safawi Rasid mengejutkan pasukan Korea Selatan dengan gol seawal minit ke-5 selepas penjaga gol mereka, Song Bum-keun melakukan kesilapan mudah.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad kendalian Kim Hag Bum mula memperkemaskan jentera serangan dan memperoleh peluang terbaik tetapi gagal disudahkan oleh Hwang Ui Jo selepas rembatannya tersasar pada minit ke-17.

Skuad Pahlawan Taeguk itu terus berkerja keras dengan menguasai sebahagian besar baki babak pertama dan memperoleh peluang keemasan hasil percubaan penyerang mereka yang beraksi di pentas Piala Dunia 2018, Hwang Hee Chan tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol negara, Muhd. Haziq Nadzli.

Bekalan selesa yang dicari oleh skuad muda Harimau Malaya itu akhirnya tiba pada masa tambahan babak pertama selepas gerakan solo Safawi berjaya mengelirukan pertahanan Korea Selatan sebelum merembat masuk gol kedua buat negara.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee tampil pada babak kedua dengan corak bertahan sehingga memaksa Korea Selatan memasukkan pemain berkelas dunia mereka, Son Hyeung-min dari bangku simpanan pada minit ke-57.

Gol yang dicari Korea Selatan akhirnya tiba selepas Ui Jo bijak menyudahkan hantaran Lee hin-jyun pada minit ke-87 namun segala-galanya sudah terlewat buat pasukan gergasi Asia itu.

Skuad negara kini berada di tangga teratas Kumpulan E selepas mengumpul enam mata selepas beraksi dua perlawanan. - K! ONLINE