Perdana Menteri berkata tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia masih belum dibincangkan di peringkat kabinet.

Beliau bagaimanapun menarik perhatian tentang hakikat bahawa bayaran pencen ketika ini sudah menjadi begitu besar.

"Sekarang ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita (kerajaan) mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah," katanya kepada pemberita ketika sidang media di akhir lawatan kerja beliau di sini hari ini.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion. - Bernama