Tinjauan Bernama mendapati Sistem Pemaparan Informasi Penerbangan (FIDS) di dewan pelepasan berfungsi dengan butiran berkaitan, masa dan nombor penerbangan, destinasi, barisan, status dan juga ulasan.

Penumpang juga kelihatan merujuk kepada FIDS, ketika mereka memasuki dewan pelepasan.

Sebahagian penumpang dilihat menggunakan kiosk daftar masuk sendiri, manakala ada penumpang yang mendapatkan maklumat penerbangan di kaunter pertanyaan.

Bernama dimaklumkan waktu pelepasan puncak untuk KLIA adalah antara 5 petang hingga 8 malam setiap hari.

Walaupun situasi telah semakin baik apabila sistem kembali stabil selepas mengalami gangguan rangkaian sejak Rabu lepas, sukarelawan Malaysia Airports masih dilihat membantu para penumpang.

Pengumuman mengenai lapangan terbang mengalami masalah ganguan sistem dan mengingatkan penumpang untuk terus melakukan pemeriksaan immigresen, juga masih kedengaran. 

KLIA mengalami gangguan sistem sejak Rabu, menyebabkan beratur yang panjang di kaunter daftar masuk selain berlakunya pembatalan dan kelewatan pernerbangan yang menghampakan penumpang. - Bernama