Beliau berkata, ini kerana kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan persetujuan supaya kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia sebaik sahaja kapal layar itu tiba di negara ini.

"Tindakan penahanan kapal Equanimity dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang Malaysia dan dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran penahanan atau waran tangkap terhadap kapal Equanimity yang dilaksanakan apabila kapal itu sampai di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos 2018," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azalina sebelum itu meminta kerajaan menyatakan sejauh mana kebenaran dakwaan peguam kepada ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa tindakan sita terhadap kapal Equanimity oleh kerajaan Malaysia adalah tindakan tidak sah dan dikatakan merampas prosiding negara lain. - Bernama