Menurut satu kenyataan hari ini, keputusan berkenaan dibuat selepas TNGSB melakukan sesi ujian menyeluruh terhadap RFID dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di bawah pihak berkuasa lebuh raya sepanjang tahun 2017.

"Ujian perintis tambahan akan turut diadakan 3 September ini bagi membantu TNGSB memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul sebelum RFID digunapakai di seluruh lebuh raya negara sekitar Januari 2019," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut orang ramai yang ingin menggunakan RFID boleh mendaftar melalui laman web www.touchngo.com.my bagi mengambil bahagian dalam ujian perintis tambahan itu.

Berikutan pelancaran RFID, peranti SmartTAG tidak akan dijual lagi oleh ejen-ejen sah TNGSB bermula 8 Ogos ini tetapi peranti sedia ada, kad Touch 'n Go dan MyKad masih boleh digunapakai pengguna lebuh raya untuk pembayaran tol seperti biasa, katanya.

Antara lebuh raya di sekitar Lembah Klang yang dilengkapi RFID ialah Lebuhraya KL-Karak (KLK), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Besraya (Besraya).

Untuk maklumat lanjut berkenaan RFID, pendaftaran sebagai pengguna awal fasa percubaan atau mengenai perkhidmatan, pengguna boleh melayari laman web www.touchngo.com.my , emel [email protected] atau boleh menghubungi Touch 'n Go Careline di talian 03-27148888. - Bernama