"Kami bersetuju untuk meneruskan projek HSR berdasarkan manfaat bersama dan kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian dua hala HSR," kata jurucakap Kementerian berkenaan dalam jawapan kepada e-mel Bernama. 

"Kami akan menunggu komunikasi rasmi daripada Malaysia," kata jurucakap itu.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengesahkan bahawa Malaysia akan membatalkan projek berkenaan dan mungkin membayar RM500 juta dalam bentuk pampasan.

"Ia adalah keputusan muktamad tetapi ia akan memakan masa berikutan kita mempunyai perjanjian dengan Singapura.

"Ia tidak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membabitkan kos yang amat besar dan kita tidak akan meraih keuntungan daripadanya disebabkan ia landasan yang pendek," katanya.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia akan membincangkan perkara berkenaan dengan Singapura tidak lama lagi dengan hasrat untuk mengendalikan pembatalan projek itu dengan 'kos yang rendah'.

Projek HSR yang membabitkan laluan sepanjang 335 kilometer akan dibina di Malaysia, membabitkan empat negeri untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. Ia dijadualkan siap pada 2026. - Bernama