Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 10 malam itu, suspek yang berusia 44 tahun yang ditahan itu dipercayai pakar dalam melakukan pengubahsuaian pasport Indonesia, Bangladesh dan Pakistan. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, apa yang menariknya, suspek melakukan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut tanpa menggunakan peralatan dan teknologi canggih, sebaliknya hanya melakukannya secara manual atau tradisional. 

“Selain pasport, suspek turut melakukan pengubahsuaian terhadap dokumen buku nikah dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) serta menyeludup masuk pasport palsu dari Indonesia bagi tujuan pasaran di negara ini. 

“Hasil soal siasat terhadap suspek mendapati dia telah menjalankan aktiviti tersebut kira-kira dua tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Tamat Latihan Pasukan Taktikal Khas Jabatan Imigresen (Pastak) di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini. 

Dalam majlis tersebut, seramai 40 peserta kursus berjaya menamatkan latihan selama 31 hari bermula 14 Januari lalu dan mereka akan menjadi pasukan elit yang bersiap sedia menangani ancaman dalam serbuan yang berisiko tinggi melibatkan kegiatan jenayah rentas sempadan. - K! ONLINE