Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, berdasarkan risikan, sindiket berkenaan menjual hasil tangkapan ikan premium seperti kerapu, siakap, kurau dan yu kepada nelayan Vietnam terbabit manakala cuma membawa pulang ikan berkualiti biasa dan rendah ke jeti-jeti nelayan di negeri ini.

"Bukan satu tetapi banyak sindiket disyaki terlibat dalam perbuatan menjual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam di tengah laut. Saya percaya perbuatan tidak bertanggungjawab ini dipercayai antara punca harga ikan di Terengganu lebih mahal berbanding negeri-negeri lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Sufi berkata, perbuatan tersebut dipercayai untuk mengaut keuntungan besar secara mudah kerana harga ditawarkan nelayan Vietnam agak tinggi berikutan permintaan tinggi terhadap ikan-ikan berkualiti premium terbabit untuk dieksport termasuk ke negara-negara Eropah.

Tambah beliau, setakat ini, sebanyak 105 bot nelayan Vietnam merangkumi 29 di perairan Pahang, Terengganu dan Kemaman (55) dan Kelantan (21) berjaya ditahan APMM sejak awal tahun ini. - K! ONLINE