Beliau berkata, menyedari perkara itu, polis terus memberi fokus terhadap usaha memerangi kegiatan pengedaran dadah, manakala Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula melaksanakan usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

"Kami melakukannya (pemeriksaan) dalam industri hiburan, tetapi masalah ini lebih baik ditangani melalui pendidikan (dan pencegahan) daripada melaksanakan penguatkuasaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AADK dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) di sini hari ini.

Beberapa artis hiburan Malaysia dihadapkan ke mahkamah tempatan dan luar negara dengan pelbagai pertuduhan berkaitan dadah.
Nur Jazlan berkata pihak berkuasa juga mengkaji kemungkinan menggunakan sampel rambut bagi mengesan penyalahgunaan dadah jangka panjang.

Menjawab soalan pemberita, timbalan menteri itu berkata bakal calon tidak perlu menjalani tapisan dadah menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif MAG Izham Ismail berkata, pada tahun ini, kumpulan itu meningkatkan lagi komitmennya terhadap Dasar Toleransi Sifar berhubung penggunaan, pemilikan dan pengedaran dadah serta alkohol di tempat kerja.

MoU yang ditandatangani itu, antara lain, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya  penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga MAG dan anak syarikatnya seperti Malaysia Airlines, MAB Kargo, MASwings, MAB Academy, Firefly dan AeroDarat Services.

Izham menandatangani MoU itu bagi pihak MAG, manakala AADK diwakili ketua pengarahnya, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin. - Bernama