Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, kemuncak suhu panas itu akan berlaku berikutan fasa penghujung monsun timur laut.

"Sekarang ini suhu akan terasa makin panas. Apabila sampai ke suhu yang kemuncak iaitu sekitar hujung Mac ini atau awal April, kita jangkakan suhu di beberapa kawasan akan mencapai sehingga 38 darjah Celcius.

"Bila suhu panas mencapai kemuncak, suhu di satu atau dua kawasan mungkin berada di tahap kedua iaitu tahap suhu maksimum boleh melebihi 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dan kawasan panas ini biasa berlaku di Sik dan Chuping," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd. Hisham berkata, berdasarkan status gelombang haba ketika ini, lapan kawasan di negeri utara iaitu masing-masing di Chuping, Perlis;  Kota Setar, Pendang, Sik dan Kulim di Kedah serta Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak berada di tahap berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian mencapai 35 hingga 37 darjah Celcius. - Bernama